MKN SIASAT DAKWAAN INDIVIDU KUARANTIN DIHIDANG KHINZIR

IPOH: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak menyiasat dakwaan individu yang sedang menjalani kuarantin di hotel di sini dikatakan menerima hidangan yang mempunyai khinzir.
Menurut Pengarah MKN Perak, Khairul Ridzuan Mat Said, pihaknya sudah sedia maklum berhubung perkara berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
“Kita sedang menyiasat mengenai kenyataan yang ditularkan oleh individu itu dan pihak kami (MKN) sudah sedia maklum berhubung perkara berkenaan sejak dua hari lalu.
“Kita sudah serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Khairul Ridzuan, segala urusan berkaitan makanan, penginapan, keperluan asas penghuni berada di bawah tanggungjawab agensi di pusat kuarantin.
“Jawatankuasa yang bertanggungjawab daripada agensi ini mungkin akan menyemak semula adakah perkara ini benar atau tidak,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial individu yang menjalani kuarantin menerima hidangan yang mempunyai khinzir walaupun sudah dimaklumkan sebelum ini bahawa dirinya sebagai ‘vegetarian’.
Individu tersebut terkejut kerana hidangan makan malam itu tertera tulisan khinzir pada bekas makanan tersebut.—AlHijrah Online