BALING: Jasad kanak-kanak autisme, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, yang hilang sejak Jumaat lalu, ditemukan di Sungai Kupang, di sini petang tadi.
Jasad Muhammad Fayyad, 4 tahun itu ditemui ahli keluarganya semasa melakukan pencarian di tepi tebing Sungai Kupang, kira-kira jam 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah Baling, Supt Azmi Mokhtar berkata, berdasarkan keadaan fizikalnya dipercayai milik mangsa dan mayat akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
“Mayat ditemui pada jarak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa di kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya.
“Proses bedah siasat terhadap mayat berkenaan dijangka akan dilakukan di HSB esok,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil memaklumkan operasi pencarian Muhammad Fayyad ditamatkan selepas tiada sebarang jejak ditemui selepas empat hari.
Katanya sebaik menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak, pihaknya terus ke lokasi kejadian sebelum jasad mangsa diserahkan kepada polis.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak autisme, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, dilaporkan hilang ketika keluar daripada rumahnya di Kuarters JPS, Kampung Landak Paya, Kupang, Jumaat lalu.—AlHijrah Online
Pingback: “TAHUN INI FAYYAD TAK RAYA DENGAN ABI, UMI” – ALHIJRAH ONLINE