MCDONALD’S MALAYSIA SUMBANG RM1 JUTA UNTUK PALESTIN

KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia mengesahkan sumbangan syarikatnya sebanyak RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin yang baru dilancarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
McDonald’s Malaysia dalam kenyataannya hari ini berkata, langkah tersebut selaras dengan hasrat murni kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
“Usul Perdana Menteri untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menyokong mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza.
“Krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza mengetengahkan kepentingan usaha ini.
“Lantaran itu, McDonald’s Malaysia berganding bahu bersama kerajaan dalam menyokong pendanaan ini dengan harapan supaya membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi masa yang sukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
McDonald’s Malaysia berkata sumbangan itu secara langsung menyokong misi bantuan kemanusiaan di Gaza selain memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas akibat konflik tersebut.
Bantuan yang diberikan meliputi perubatan, makanan, tempat tinggal, dan bantuan pemindahan sekiranya diperlukan oleh pasukan penyelamat.
“Komitmen kami tertumpu sepenuhnya kepada menyediakan keperluan asas kepada mereka yang dalam kesusahan.
“Kami yakin semangat kerjasama dapat membantu dalam masa yang genting ini. Selain sumbangan ini, McDonald’s Malaysia juga menggalakkan pekerja-pekerja dari seluruh negara untuk menyertai usaha pengumpulan dana.
“Kami berharap usaha ini akan memberi impak yang bermakna dalam kehidupan mereka yang terkesan di Gaza,” katanya.—AlHijrah Online