MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, perletakan jawatan dibuat selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti UMNO.

“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti. Saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau juga turut berterima kasih kepada semua pihak dan warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Shamsul Anuar berkata selepas ini beliau akan memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar. — AlHijrah Online

Leave a Reply