Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SUMBANGAN VAKSIN: AGONG, PERMAISURI ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA UNITED KINGDOM

DALAM NEGARA

SUMBANGAN VAKSIN: AGONG, PERMAISURI ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA UNITED KINGDOM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan United Kingdom (UK) atas sumbangan 415,000 dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan harapan kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mendepani cabaran pandemik dan menuju ke arah pemulihan.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara. Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” titah baginda.

Menjunjung titah Seri Paduka, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia Charles Hay atas sumbangan itu.

Dalam masa yang sama, Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara kerajaan kedua-dua negara dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

“Seri Paduka berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” menurut hantaran tersebut.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading