MORATORIUM DILANJUTKAN, POTONGAN ANSURAN BULANAN KEPADA GOLONGAN SASAR

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan atau terjejas sumber pendapatan boleh menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman bank.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mendengar rintihan rakyat dan tahu ramai yang mengharapkan moratorium ini dilanjutkan.

Oleh itu kerajaan Perikatan Nasional katanya bersetuju untuk melanjutkan tempoh moratorium namun kali ini lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan.

“Pertama, bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan. Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

“Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman. Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.” katanya.

Jelas beliau bantuan pengurangan bayaran pinjaman diberikan untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan.

Selain itu Muhyiddin memaklumkan, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam yang terkesan kerana COVID-19, baik individu mahupun peniaga.

“Bantuan-bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau, memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan
kewangan yang lebih stabil,” katanya.

Muhyiddin berkata langkah-langkah ini dijangka akan memanfaatkan 3 juta individu dan PKS.

Tambahnya jika lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya.– AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply