MULA DENGAN JUAL KEPADA RAKAN, KINI MEMPUNYAI 65 CAWANGAN JUALAN

KUALA LUMPUR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Siapa sangka bermula dengan jualan kecil-kecilan kepada kenalan, Datuk Che Umar Yatim berjaya menjadikan Pasar Raya Borong Sakan jenama runcit terkenal di Malaysia dengan 65 cawangan di seluruh Malaysia.
Che Umar yang merupakan pengasas Pasar Raya Borong Sakan memulakan perniagaan menggunakan sebahagian gajinya sebagai kakitangan kerajaan sebelum membuka kedai pertama dan memilih untuk bersara awal bagi memberi tumpuan kepada perniagaan.
Kerja kerasnya membuahkan hasil, apabila perniagaannya berkembang maju dan menjadi pilihan rakyat Malaysia mendapatkan barangan seperti pakaian, peralatan bayi, kelengkapan rumah, serta keperluan umrah dan haji.
Seperti banyak perniagaan lain, Pasar Raya Borong Sakan turut berdepan cabaran antaranya keadaan ekonomi serta saingan perniagaan baru.
Bagi memastikan jenama itu kekal relevan, pihak pengurusan sentiasa bekerja keras memberikan perkhidmatan dan harga jualan terbaik, serta cepat menyesuaikan diri dengan permintaan semasa.
Pengiktirafan seperti Anugerah Jenama Utama oleh World Muslimpreneur menjadi galakan untuk jenama itu terus bekerja keras ke arah kejayaan.
Misi berterusan Pasar Raya Borong Sakan ialah untuk mengembangkan perniagaan dengan memberi tumpuan kepada produk muslim halal dan menyediakan pelanggan dengan barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi. – AlHijrah Online