MVM LATIH 30 USAHAWAN ASNAF TERJEJAS COVID-19

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan nasib peniaga kecil golongan asnaf terjejas akibat COVID-19, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) melancarkan projek Dare To Grow bagi mengumpulkan dana RM340,000 untuk menyediakan bantuan latihan perniagaan percuma kepada kelompok terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MVM, Mohd Fauzan Abd Sukor berkata, kempen selama enam bulan bermula 20 Mac itu akan membabitkan bantuan latihan perniagaan dan up-skilling kepada 30 peniaga kecil daripada golongan asnaf dan berpendapatan rendah (kelompok B40).

“Selaku badan bukan kerajaan (NGO) yang mengfokuskan kepada pembangunan asnaf dan pembangunan sukarelawan anak muda, MVM mengambil inisiatif melantik sebuah syarikat perunding perniagaan untuk memberikan latihan kepada kelompok sasaran menjadi usahawan di bawah inisiatif Pusat Pembangunan Usahawan Mampan (Sustainable Entrepreneurship Development Centre) milik MVM.

“Isu kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan dalam kalangan rakyat Malaysia dilaporkan meningkat selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Data Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan sebanyak 52.9 peratus kadar kehilangan pekerjaan atau 782,500 individu menganggur sehingga Januari 2021.

Dijangka peningkatan jumlah kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia akan terus meningkat dari semasa ke semasa sebelum ekonomi negara kembali pulih.

Individu atau organisasi yang berminat untuk bersama membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5648 0164 7699 (Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia). – AlHijrah Online

Leave a Reply