MVM SALUR LEBIH RM90K BANTUAN MAKANAN, KEPERLUAN PERUBATAN

KUALA LUMPUR: Muslim Volunteer Malaysia (MVM) menyalurkan RM92,816 dalam bentuk pek makanan, barangan keperluan asas dan pek kebersihan kepada keluarga asnaf, kelompok B40 dan petugas barisan depan COVID-19.

Ini termasuk 300 pek makanan setiap hari dengan kekerapan tiga kali sehari kepada petugas perubatan di Hospital Sungai Buloh. Menu terkini adalah nasi kerabu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Fauzan Abd Sukor berkata bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia itu tanda solidariti pertubukan bukan kerajaan (NGO) itu dengan petugas barisan depan dan kelompok terjejas akibat wabak COVID-19.

Katanya, MVM akan meneruskan kempen itu untuk membantu kelompok memerlukan termasuk individu, keluarga, pusat kebajikan dan pendidikan yang memerlukan bantuan.

“Sokongan kepada frontliner sebagai tanda sokongan moral kepada semua petugas barisan depan di seluruh negara yang banyak berkorban dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan ini.

“Bantuan diberikan dalam bentuk makanan harian dan juga kelengkapan perubatan,” katanya kepada AlHijrah Online mengulas mengenai kempen “COVID-19: Relief For Unsung Heroes dan The Needy”.

Kempen kecemasan itu dijalankan dengan kerjasama Halaman Nurani Sdn Bhd, Majlis Belia Malaysia (MBM), Relawan MBM, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Yayasan Maghfirah dan MOHA Group Sdn Bhd.

Mohd Fauzan berkata, kempen sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu menyasarkan dana keseluruhan RM450,000 dari sumbangan individu dan pihak korporat.

“Setakat ini kawasan bantuan kita membabitkan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya kerjasama dengan NGO IMARET membabitkan pembekalan kelengkapan perubatan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) yang amat diperlukan petugas barisan depan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh melayari Facebook dan Instagram Muslim Volunteer Malaysia untuk maklumat lanjut atau melayari sesawang donation.mvm.org.my. – AlHijrah Online

Leave a Reply