NGO MOHON AGONG BERI PENGAMPUNAN DIRAJA KEPADA NAJIB RAZAK

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon Pengampunan Diraja diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan melantiknya sebagai Perdana Menteri Interim.

Pengerusinya, Syed Muhammad Imran S.N. Syed Abdul Aziz berkata, pengampunan itu merangkumi semua tindakan mahkamah, sama ada kes sedang berjalan mahupun yang telah dijatuhi hukuman bersalah ke atas Ahli Parlimen Pekan itu.

Ujarnya permohonan itu dibuat kerana keupayaan Najib mentadbir negara telah terbukti ketika beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri keenam.

“Najib mempunyai dua kriteria untuk mengendalikan jawatan tersebut iaitu kepercayaan oleh Seri Paduka Baginda dan pengalaman beliau sebagai bekas Perdana Menteri dalam mentadbir negara.

“Saya lihat daripada kebanyakan rakyat Malaysia ingin Najib kembali mentadbir negara dengan itu saya mohon YDPA jika ada kekhilafan yang berlaku ke atas Najib, saya memohon ia dapat dimaafkan.

“Saya yakin jika Najib kembali menjadi perdana menteri negara kita bukan sahaja akan bebas COVID-19 tetapi ekonomi negara akan mula meningkat. Itu pendapat saya dan rakyat Malaysia juga saya rasa berpendapat begitu,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di Istana Negara hari ini.

Najib sebelum ini dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2009 dan melepaskan jawatan pada 2018 susulan kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau pada 7 Julai 2020 telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – AlHijrah Online

Leave a Reply