TIADA AHLI PARLIMEN LAIN BUKTIKAN PEROLEH SOKONGAN MAJORITI – PM

PUTRAJAYA: Tiada ahli Dewan Rakyat yang lain dapat membuktikan memperoleh sokongan majoriti bagi membolehkan Yang di-Pertua Agong untuk melantik perdana menteri yang baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika beliau meletakkan jawatan ketika tiada ahli Dewan Rakyat lain mempunyai sokongan majoriti, ia akan memberi kesan kepada pentadbiran negara.

“Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri. Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Ujarnya sekiranya pentadbiran negara terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya.

“Justeru, saya telah merundingi rakan-rakan saya di dalam kabinet dan pimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional untuk membuat keputusan yang terbaik demi rakyat dan negara. Bukan untuk kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan yang lain.

“Kami telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikan Nasional untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply