NIAT BAKAR AL-QURAN: RASMUS PALUDAN TIDAK DIBENAR MASUK U.K.

LONDON: Niat jahat ahli politik anti-Islam Sweden-Denmark, Rasmus Paludan untuk membakar naskhah Al-Quran di Britain terkubur apabila negara itu melarang kemasukannya.

Larangan itu dinyatakan Menteri Keselamatannya, Tom Tugendhat, Isnin lalu.

Jelas Tugendhat, Paludan tersenarai dalam Indeks Amaran oleh kementeriannya dan dia tidak akan dibenar masuk ke Britain.

Difahamkan, Paludan bercadang melakukan tindakan membakar Al-Quran di ruang awam di Wakefield, West Yorkshire.

Dia mahu melakukan tindakan keji dan provokasi itu pada hari pertama umat Islam menyambut Ramadan.

Ahli parlimen parti Buruh, Simon Lightwood yang mewakili Wakefield mempersoal hasrat Paludan di Parlimen Britain.

“Paludan pernah dijel di Denmark akibat kenyataan yang berunsur kebencian dan rasis. Dia adalah individu berbahaya dan tidak dibenar masuk ke negara ini. Bolehkah Menteri Dalam Negeri memberi jaminan kepada saya dan komuniti setempat bahawa kerajaan akan mengambil tindakan dalam usaha mengekang perkara ini?” soal Lightwood.

“Paludan tersenarai sebagai individu dalam Indeks Amaran dan kehadirannya ke Britain tidak sesuai untuk umum dan dia tidak akan dibenar masuk,” jelas Tugendhat.

Paludan, lelaki kontroversi yang telah mengadakan siri tindakan biadab membakar kitab suci umat Islam, sebelum ini turut berdepan pelbagai protes hingga mencetus suasana tegang dan mengganggu ketenteraman awam. -AlHijrah Online

Leave a Reply