PENGGUNA LEBUH RAYA BOLEH BAYAR TOL GUNA KAD DEBIT, KREDIT TAHUN INI

KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya boleh menggunakan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol di beberapa lebuh raya utama bermula selewat-lewatnya September 2023.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka (open payment system) itu merupakan inisiatif awal dalam peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

Katanya lebuhraya berkenaan adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Proof of Concept (POC) MLFF akan dijalankan sebelum penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem MLFF sebelum ianya dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Lokasi POC ini sedang dalam rundingan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Pelaksanaan sepenuhnya MLFF ini akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jelasnya, menerusi pelaksanaan MLFF, ‘open payment system’ akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan eWallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch N Go.

Persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuhraya untuk membuat pembayaran tol sekaligus memberikan kemudahan kepada mereka, katanya.

“Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua terutamanya rakyat dan pengguna lebuhraya di negara ini,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply