Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

NYARIS DIHANYUTKAN, MANGSA KEPALA AIR SYUKUR TERSELAMAT

DALAM NEGARA

NYARIS DIHANYUTKAN, MANGSA KEPALA AIR SYUKUR TERSELAMAT

Mangsa kejadian kepala air di Risda Eco Park Kg Ulu Slim hanya mampu melihat barangan berharga seperti telefon bimbit dan komputer riba dihanyutkan arus deras.

Jambatan lama sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air petang semalam
foto: BERNAMA

TANJUNG MALIM : Mangsa kejadian kepala air di Risda Eco Park Kg Ulu Slim dekat sini hanya mampu melihat barangan berharga seperti telefon bimbit dan komputer riba dihanyutkan arus deras.

Nor Fatihah Ahmad, 33, bagaimanapun bersyukur beliau dan keluarga terselamat setelah mereka juga nyaris ‘dibaham’ kepala air dalam kejadian petang semalam itu. 

Guru dari Sabak Bernam, Selangor itu ketika ditemui pemberita berkata semasa kejadian dia sedang bersolat di dalam khemah yang telah siap dipasang sebelum terdengar bunyi deruan air yang kuat. 

“Ketika itu saya terus memeluk anak-anak keluar dari khemah dan terpaksa membiarkan kesemua barangan seperti telefon bimbit, komputer riba dan beg-beg pakaian dihanyutkan air. 

“Saya terus berlari menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi dan ketika itu saya lihat beberapa khemah lain yang dipasang lesap dihanyutkan air deras, tetapi pengunjung lain dapat menyelamatkan diri, ” katanya yang berkhemah bersama suaminya, Syed Abdul Kadir, 35, dan dua anak mereka berusia tujuh dan sembilan tahun. 

 Katanya mereka empat sekeluarga telah beberapa kali melakukan aktiviti perkhemahan dan ini kali pertama berdepan saat cemas seperti itu. 

“Ketika di dalam khemah saya lihat kayu-kayu dan batang kelapa sawit berterbangan disertai air deras bagai tsunami. Saya begitu bersyukur kami yang terlibat terselamat,” katanya. 

Sementara itu, seorang penduduk Zainuddin Khalid, 65, berkata kejadian kepala air pernah berlaku di kawasan itu pada tahun 80an.

Anak jati Kg Ulu Slim itu berkata kejadian kali ini bagaimanapun agak luar biasa kerana menyebabkan Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting pecah dan Jambatan Lama Sungai Slim turut runtuh. 

“Jambatan itu yang paling kukuh kerana saya lahir pun ia dah wujud, saya sekarang 65 tahun bermakna kejadian (kepala air) sangat dahsyat sehingga jambatan itu pun boleh patah dua (runtuh),” katanya. 

Terdahulu dalam kejadian 7 petang semalam, 19 pengunjung dan dua kakitangan terperangkap dalam kejadian kepala air di Risda Eco Park berhampiran Sungai Geliting dekat sini. 

Hujan lebat berterusan dan kejadian kepala air menyebabkan jambatan yang menghubungkan Risda Eco Park dengan jalan utama runtuh dan turut menyebabkan struktur Muka Sauk Sungai Geliting pecah. 

Arus deras menyukarkan operasi menyelamat susulan tiada laluan lain ke pusat rekreasi itu dan pasukan penyelamat terpaksa menunggu sehingga air surut pagi ini untuk menjalankan operasi.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 12 tengah hari tadi – Alhijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading