OPERASI KEDAI MAKAN DITUKAR 6 PAGI HINGGA 10 MALAM BERMULA ESOK

KUALA LUMPUR: Waktu operasi premis kedai makan dan restoran dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan ditukar dari jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa esok, 28 Jun 2021.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa 28 Jun 2021,” kataya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ismail Sabri memaklumkan, Fasa 1 PPN dikekalkan sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.

Ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian COVID19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Dalam Fasa 1 PPN, SOP am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih diguna pakai yang mana semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor-sektor perlu yang disenaraikan dalam senarai positif yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). — AlHijrah Online

Leave a Reply