MISI KEMANUSIAAN HM4P TUNGGU KELULUSAN MASUK GAZA

KAHERAH: Anggota misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) sedang bersiap sedia untuk masuk ke wilayah konflik Gaza selepas mengikuti semua peraturan ditetapkan Wisma Putra dan Kerajaan Mesir.

Ini termasuk bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di Gaza.

Ketua HM4P yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya mengikuti semua peraturan ditetapkan pihak berkuasa Mesir bagi memastikan kelancaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Katanya, dokumen permohonan memasuki Gaza telah dihantar kepada Kementerian Luar Mesir melalui Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Difahamkan, kita akan dapat jawapan hari ini. Semua proses ditetapkan Wisma Putra dan Kerajaan Mesir telah kita patuhi bagi menjayakan misi solidariti dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza,” katanya di sini hari ini.

Fasa pertama misi bantuan HM4P menyaksikan penyampaian bantuan kepada Masjid Al-Aqsa membabitkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang diterima menterinya, Dr Mohammad Al-Khalaileh pada 20 Jun lalu.

Dana itu telah digunakan untuk membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan. 

Semalam, delegasi 17 anggota HM4P yang turut disertai wakil MERCY Malaysia dan pempengaruh Caprice membuat kunjungan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Dr Ramy El Nazer di Pejabat Bulan Sabit Merah Mesir di Kaherah.

Abdul Azeez turut menyampaikan 10 set kerusi roda sumbangan HM4P kepada ERC dalam lawatan itu yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

“Kita hargai kedatangan anda semua ke ERC untuk bekerjasama dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Tugas kami di Bulan Sabit Merah Mesir adalah untuk memastikan semua bantuan ini sampai kepada mereka yang memerlukan di Gaza,” kata Dr Ramy memuji keberanian anggota misi HM4P datang ke Mesir untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ketika dunia masih berdepan pandemik COVID-19.

Media sebelum ini melaporkan Mesir akan memudahkan laluan ke Gaza kepada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia melalui sempadan Rafah hasil perbincangan di antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Mesir Al-Sisi selain usaha digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakat sejawatnya di Mesir.

Mengulas mengenai penyertaan MERCY Malaysia dalam misi HM4P yang bermula 19 Jun lalu, EXCO Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah berkata, badan kemanusiaan itu akan menggunakan ruang kerjasama misi berkenaan untuk memantau program sedia ada, menilai dan melihat keperluan warga Palestin terjejas di Gaza.

“Kita telah membantu Palestin, termasuk di wilayah Gaza, sejak 2008 lagi melalui projek-projek kemanusiaan dengan memberi keutamaan kepada program kesihatan dan psikososial,” katanya.

Gaza dikepung dari darat, udara dan laut oleh Israel sejak 2007 menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk kepada dua juta warga Palestin di wilayah konflik itu. 

Serangan rejim zionis ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu turut menyaksikan kemusnahan harta benda ratusan juta dolar selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin. Lebih 77,000 dilaporkan hilang tempat tinggal. — AlHijrah Online

Leave a Reply