OPERATOR KILANG MAUT, JATUH MOTOSIKAL SEMASA REDAH BANJIR

Sumber Gambar: JBPM

GAMBANG: Seorang operator kilang ditemui maut selepas terjatuh daripada motosikal semasa meredah air di Jalan Kubur, Gambang, Kuantan hari ini.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi itu melibatkan mangsa, M. Gunalan, 38, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menggunakan jalan yang dilimpahi air itu untuk pulang ke rumahnya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, ketika kejadian keadaan air di lokasi terbabit berarus deras.

“Mangsa bertindak meredah air berkenaan sebelum motosikal yang dinaiki terbalik dan mangsa dihanyutkan arus deras ke kawasan ladang sawit berhampiran,” katanya, hari ini.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada pokok kelapa sawit kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan.

Seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kuantan serta enam anggota Bomba Sukarela Gambang.–AlHijrah Online

Leave a Reply