PDRM LANJUT TEMPOH DISKAUN SAMAN SEHINGGA 31 DISEMBER

GAMBAR HIASAN – ARKIB

KUALA LUMPUR: Pemberian diskaun saman trafik sehingga 80 peratus yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata lanjutan itu bagi memberi peluang kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan saman berbuat demikian sehingga hujung tahun ini.

Selain itu lanjutan tempoh itu juga dibuat susulan sambutan luar biasa hingga menyebabkan kaunter pembayaran saman trafik di seluruh negara sesak dan orang ramai terpaksa beratur panjang beberapa jam.

“Bermula 9 Disember sehingga pukul 12 tadi, orang ramai telah menyelesaikan hampir 2.3 juta saman trafik di seluruh negara dengan kutipan kira-kira RM109 juta.

“Ini menunjukkan orang ramai sebenarnya berhasrat untuk menyelesaikan semua kes-kes mereka jika ada peluang,” katanya pada sidang media program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Disebabkan sambutan yang menggalakkan, polis sebelum ini membuat keputusan menutup kaunter pembayaran saman di program 100 Hari AKM di KLCC kerana bimbang ketidakpatuhan SOP kerana diserbu orang ramai.

Orang ramai boleh membuat pembayaran saman melalui portal dan aplikasi MyBayar atau kaunter di cawangan polis trafik seluruh negara. – AlHijrah Online

Leave a Reply