WARGA EMAS DITEMUI MAUT TERJATUH DARI FLAT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 62 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di sebuah flat perumahan di Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 pagi tadi.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Cheras telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati seorang perempuan warganegara berumur 62 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir kenderaan flat tersebut.

“Mangsa dipercayai jatuh dari flat tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Idzam, siasatan awal mendapati mangsa mengalami masalah mental dan tiada unsur jenayah ditemui dalam insiden yang berlaku.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengetahui punca kematian dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ketua Polis Balai Cheras ASP Mohd Redzuan Md Darus di talian 03-92050301 sambungan 302. – AlHijrah Online

Leave a Reply