TAASUB MELAMPAU KEPADA GURU ANTARA PUNCA AJARAN SESAT

KUALA LUMPUR: Berdasarkan kajian dan penemuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), taasub dan fanatik yang melampau kepada guru atau ketua ajaran antara kriteria utama dalam sesebuah ajaran sesat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata antara kriteria lain ialah berpegang dengan aqidah selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berpegang dengan ajaran kerohanian atau tasawuf falsafah yang bercampur aduk dengan ajaran kebatinan.

“Selain itu kriteria lain ialah mempercayai atau mengamalkan perkara khurafat dan tahyul, menjadikan ilham, mimpi atau kasyaf sebagai sumber pegangan dan kepercayaan, menyelewengkan tafsiran al-Quran atau al-Hadis untuk kepentingan peribadi atau kumpulan,” katanya.

Pengikut ajaran sesat juga kata Ahmad Marzuk berpegang dengan pemikiran liberalisme dan pluralisme agama, dan menolak disiplin ilmu dan autoriti pihak berkuasa agama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai kriteria utama yang ditemui pihak berkuasa agama dalam sesebuah ajaran sesat di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) berhubung komitmen memastikan kesucian Islam dapat dipelihara, Ahmad Marzuk berkata JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa berusaha memastikan kesucian agama Islam di negara ini terus terpelihara dari sebarang anasir yang mencalar kesucian agama Islam.

“JAIN secara berterusan melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan ke atas kes-kes kesalahan jenayah Syariah yang dilaporkan melibatkan ajaran sesat, perjudian dan kesalahan mabuk.

“Sepanjang tahun 2020, sebanyak 33 kes dilaporkan melibatkan kes berkaitan ajaran salah, pemujaan salah, doktrin palsu, dan dakwaan palsu. Manakala 334 kes melibatkan perjudian atau berada di tempat perjudian dan 86 kes melibatkan minuman yang memabukkan,” katanya.

Selain penguatkuasaan, kerjasama antara JAKIM dan JAIN kata Ahmad Marzuk terus diperkukuh bagi memastikan kesucian agama Islam di negara ini terus terpelihara melalui pelaksanaan pelbagai program. – AlHijrah Online

Leave a Reply