EMPAT MAUT DITEMBAK DI KEM PELARIAN PALESTIN

Gambar ketika majlis pengebumian seorang warga Palestin yang terbunuh dalam letupan di Kem Burj Al-Shemali, Jumaat lepas. (Mahmoud ZAYYAT / AFP)

TYRE, LUBNAN: Empat maut manakala beberapa yang lain cedera dalam insiden tembakan di kem pelarian Palestin di Lubnan.

Kejadian berlaku ketika majlis pengebumian seorang warga Palestin yang terbunuh dalam letupan di Kem Burj Al-Shemali, Jumaat lepas.

Hamas dalam kenyataannya mendakwa tembakan itu didalangi gerakan Fatah yang dipimpin Mahmoud Abbas.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian memberitahu, serangan berlaku ketika jenazah penyokong Hamas itu tiba di tanah perkuburan dan tembakan dilepaskan ke arah orang ramai.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan siapa yang melepaskan tembakan dan kepada siapa ia disasarkan kerana situasi dilapor bertukar huru-hara.

Lapor agensi berita Lubnan, seorang pegawai dari pasukan keselamatan yang bersekutu dengan Fatah di kem itu, Talal Al-Abed Kassem berkata, penembak terbabit bukan anggota gerakan Fatah atau pasukan keselamatan.

Perselisihan antara Hamas dan Fatah, parti sekular yang dipimpin Mahmoud Abbas, berlaku sejak 2007 apabila Hamas merampas Gaza selepas seminggu pertempuran yang mengorbankan nyawa. – AlHijrah Online

Leave a Reply