4,230 ADUAN DITERIMA JAKIM MELALUI MYCARE COVID-19

KUALA NERUS: Sebanyak 4,230 aduan dan pertanyaan diterima melalui perkhidmatan MyCare COVID-19 yang diwujudkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari Jun hingga Khamis lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, aduan yang paling banyak diterima adalah berkaitan urusan pernikahan iaitu sebanyak 2,590 aduan, bantuan dan sumbangan 981 aduan, manakala kaunseling keluarga 275 aduan.

Ujarnya jika mengikut kategori umur mereka yang berumur 20 hingga 29 tahun adalah yang paling ramai mengemukakan aduan melalui MyCare COVID-19 iaitu seramai 2,116 orang, diikuti individu berumur 30 hingga 39 tahun berjumlah 1,152 orang, dan yang berumur 40 hingga 49 tahun 305 orang.

Katanya, 15 pegawai dan kaunselor JAKIM ditugaskan khusus untuk memberikan khidmat kaunseling terhadap aduan yang diterima melalui panggilan telefon dan platform lain seperti aplikasi Whatsapp dan emel.

“Bila kerajaan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak perkara yang tidak bebas dilakukan hingga menjejaskan pendapatan keluarga. Jadi itu antara punca kita sediakan pegawai-pegawai kaunselor di JAKIM untuk memberi nasihat.

“Malah yang memanggil perkhidmatan MyCare COVID-19 bukan sahaja dalam kalangan orang Islam bahkan bukan Islam juga menerima khidmat nasihat kita,” katanya kepada media ketika ziarah Musa’adah Mangsa Banjir Batu Rakit hari ini.

Ujar Ahmad Marzuk, inisiatif perkhidmatan MyCare COVID-19 menunjukkan kerajaan memandang serius permasalahan dan isu sosial dalam kalangan rakyat ekoran penularan pandemik COVID-19.

MyCare COVID-19 adalah merupakan inisiatif JAKIM bersama rakan strategik agensi-agensi lain dalam menyediakan bantuan kerohanian bagi membantu masyarakat Islam dan bukan Islam menangani permasalahan dan isu sosial serta komuniti yang timbul sepanjang tempoh PKP. – AlHijrah Online

Leave a Reply