382 ORANG ASLI KG RAS TERIMA BEKALAN AIR TERAWAT

SUNGKAI: Seramai 382 orang asli suku Semai daripada 62 keluarga di Kampung Ras di sini menikmati bekalan air terawat dengan pelaksanaan Projek Bekalan Air Bersih Etiqa dikelolakan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang.

Projek bekalan air bersih menggunakan Sistem Rawatan Air SAFEWHERE (Safe Water Everywhere) dibangunkan IMARET itu dibiayai sepenuhnya oleh Etiqa, termasuk kos penyelenggaraan untuk tempoh dua tahun.

Sistem rawatan air yang lengkap dengan pra-rawatan, tapisan dan juga sistem ‘ultraviolet’, dijana menggunakan kuasa solar dan dijangka berupaya untuk menghasilkan lebih 10,000 liter air terawat setiap hari selain mampu bertahan lama di lapangan dengan kadar penyelenggaraan minima.

Dari kiri Dr Yusri, Pn Haslinda, Tok Batin Nasir dan Dr Raja Mohd Azim.

Sebelum ini, penduduk kampung terbabit terpaksa menggunakan air bukit untuk menjalankan aktiviti harian, termasuk untuk memasak dan diminum, menyebabkan mereka terdedah kepada pencemaran air yang boleh memudaratkan kesihatan mereka dalam jangka masa panjang.

Majlis ringkas perasmian projek bekalan air itu semalam disempurnakan Pengurus Wilayah Bahagian Utara Etiqa, Haslinda Omar dan Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr Muhamad Yusri Musa sambil disaksikan Pegawai Kesihatan Daerah Batang Padang, Dr Raja Mohd Azim Raja Haron. Majlis tersebut turut menyaksikan pemberian 300 pek makanan kepada penduduk sekitar.

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat merealisasikan usaha murni ini dengan kerjasama IMARET. Diharapkan dengan kemudahan sistem rawatan air yang disediakan, risiko penduduk kampung untuk terdedah kepada pencemaran air dapat dikurangkan.

”Bukan itu sahaja, semoga projek ini dapat memudahkan kelangsungan aktiviti harian mereka dengan bekalan air yang bersih secara berterusan sepanjang tahun. Mudah-mudahan, penduduk kampung dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dengan baik dan terpelihara,” kata Haslinda.

Dr Muhammad Yusri berkata sistem rawatan air SAFEWHERE di Kampung Ras itu merupakan sistem ke-31 dibangunkan di dalam dan luar negara bagi membekalkan air terawat kepada kelompok memerlukan.

“Sebagai sebuah organisasi yang berteraskan kesihatan, kami amat menitikberatkan penggunaan air yang selamat bagi penggunaan harian. Semoga dengan usaha sama seperti ini, lebih banyak komuniti dapat menikmati air terawat seperti kita di bandar,” katanya.

Tok Batik Kg Ras, Nasir Bah Manding berterima kasih atas usaha menyediakan sistem bekalan air terawat yang memberikan manfaat langsung kepada penduduk di kampung orang asli itu.

“Sekarang kami boleh minum air bersih tak perlu guna air bukit yang mungkin tak selamat dan sebabkan kami sakit,” katanya.

Tok batin Kg Ras, Nasir Manding (kanan) meminum air bersih dari sistem rawatan air terawat SAFEWHERE.

– AlHijrah Online

Leave a Reply