SASARAN 500,000 PELUANG PEKERJAAN BERJAYA DICAPAI

KUALA LUMPUR: Majlis Pekerjaan Negara (NEC) mengumumkan setakat 3 Disember 2021, sebanyak 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata angka itu, melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.

“Kejayaan ini lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan COVID-19 sejak Mac 2020, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata selain itu kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

Tambah beliau seperti mana yang dibentangkan melalui Belanjawan 2022, kerajaan di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

“Kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatifJaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion. Kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

“Selain itu kerajaan juga akan meneruskan MySTEP dengan penawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari 2022,” katanya.

Dalam pada itu perdana menteri berkata perkembangan ini sekaligus dapat memperkasakan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40.

Selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka, kerajaan katanya akan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia. – AlHijrah Online

Leave a Reply