MANGSA BULI MRSM ALAMI KECEDERAAN TISU LEMBUT

IPOH: Mangsa kes buli Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar telah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan pemeriksaan doktor, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut dalam badan.

Katanya mangsa berusia 13 tahun itu menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor dan bapanya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Keterangan mangsa juga telah diambil untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

Mior Faridalathrash sebelum ini memaklumkan seramai 10 pelajar lelaki telah dipanggil untuk beri keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Daripada 10 yang dipanggil itu, sembilan pelajar berusia 13 tahun manakala seorang berusia 15 tahun, kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – AlHijrah Online

Leave a Reply