Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

DUA MAYAT TRAGEDI BOT BERTEMBUNG DITEMUKAN SELEPAS TIGA HARI

DALAM NEGARA

DUA MAYAT TRAGEDI BOT BERTEMBUNG DITEMUKAN SELEPAS TIGA HARI

KUALA PERLIS: Dua mayat mangsa kemalangan bot bertembung di Sungai Perlis ditemukan lemas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mayat pertama dikenal pasti sebagai Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39 ditemui terapung kira-kira jam 7.46 pagi tadi manakala mayat Abdul Rashid Md Derus, 45, ditemui pada jam 3.27 petang tadi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan mangsa pertama ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi kemalangan manakala mayat kedua ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa pertama ditemui.

Ujarnya, sebelum ini gerakan mencari gagal kerana mayat mangsa tenggelam di dasar namun selepas tiga hari mayat mulai mereput dan timbul di permukaan air.

Katanya, mayat kemudian diangkat dari dalam air dan dibawa oleh anggota bomba ke atas darat dengan bantuan nelayan tempatan.

Mayat mangsa masing-masing dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Jelas Wari, dengan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang menggunakan kepakaran penyelam serta unit anjing pengesan (K9) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ini ditamatkan serta-merta.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam kejadian Khamis lalu, dua lelaki dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot lain di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis.

Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, dan rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 45. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading