PEKEBUN TEMBIKAI RUGI RM910,000 TANAMAN DITENGGELAMI BANJIR

SETIU: Seramai 40 orang petani di Tanah Kelompok Belia Kampung Telaga Papan, Setiu menanggung kerugian keseluruhan bernilai RM910,000 apabila tanaman tembikai berkeluasan 91 hektar yang diusahakan mereka musnah akibat banjir pada Sabtu lalu.

Salah seorang petani Abdullah Abdul Ghani, 53, berkata hujan lebat sejak Jumaat lalu telah menenggelamkan 9,000 pokok tembikainya yang telah berputik menyebabkan beliau berputih mata kerana telah mengeluarkan modal sebanyak RM30,000.

Katanya, dia dijangka akan memperoleh hasil sebanyak 100 tan dengan pendapatan kira-kira RM100,000 sebulan lagi namun reda dengan ujian yang menimpa.

Abdullah berkata kejadian banjir di kawasan tanaman tersebut adalah kali pertama dialaminya sejak menanam tembikai di situ 10 tahun lepas.

Seorang petani wanita Siti Maryam Awang, 47, berkata beliau bagaikan jatuh terduduk apabila melihat 3,000 pokok tembikai yang diusahakannya sendiri di atas 1.2 hektar tanah musnah akibat banjir kilat tersebut.

Ibu kepada lima anak itu telah mengeluarkan modal sebanyak RM9,000 yang mana daripada jumlah itu sebanyak RM8,000 telah dipinjamnya daripada Amanah Ikhtiar Malaysia manakala selebihnya adalah simpanannya sendiri.

Dia yang bekerja untuk menyara keluarga sejak suaminya Aziz Ibrahim, 50, diserang strok tiga tahun lepas sebelum ini menjangkakan akan memperoleh pendapatan sekitar RM40,000 apabila berbuah nanti.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telaga Papan, Bistaman Ariffin berkata selain hujan lebat berterusan, masalah perparitan yang tidak sempurna dan sempit merupakan antara punca banjir berlaku.

Katanya masalah tersebut telah dilaporkannya kepada pihak berwajib termasuk pihak Pegawai Daerah Setiu serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Setiu supaya tindakan lanjut segera diambil.

Beliau juga akan meminta petani yang mengalami kerugian agar segera membuat laporan kepada pihak berkenaan supaya sebarang bentuk bantuan sama ada daripada kerajaan pusat atau kerajaan negeri dapat segera dipohon. – AlHijrah Online

Leave a Reply