PELAJAR IPT, SEKOLAH TERLIBAT PARTI LIAR DITAHAN

MELAKA: Seramai 18 individu termasuk pelajar sekolah menengah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sebuah parti liar dengan membawa bekalan ganja dan pil ekstasi, di sebuah rumah inap desa di Alai, dekat sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 pagi yang melibatkan 14 lelaki dan empat perempuan berusia antara 15 hingga 24 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Supt Zulkiflee Rashid berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Melaka Tengah dan Balai Polis Kandang.

Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki memiliki satu bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis pil ekstasi seberat 0.45 gram dan satu ketulan mampat dipercayai ganja seberat 2.6 gram.

“Hasil serbuan dilakukan seramai 18 individu ditahan selepas dipercayai mengadakan parti liar dengan dua daripada mereka turut membawa pil ekstasi dan ganja.

“Antara yang ditahan adalah pelajar sekolah menengah dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Mengulas lanjut, hasil saringan ujian air kencing mendapati 13 yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

Tambahnya, dua suspek yang memiliki dadah itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala mereka yang positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A) akta sama.—AlHijrah Online

Leave a Reply