Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PELAJAR LEMAS: MANGSA TERGELINCIR SEBELUM TENGGELAM DAN HILANG – RAKAN

DALAM NEGARA

PELAJAR LEMAS: MANGSA TERGELINCIR SEBELUM TENGGELAM DAN HILANG – RAKAN

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Bukit Besi, Amirul Danish Zamri, yang ditemukan lemas di Air Terjun Tasik Puteri Bukit Besi, dekat sini hari ini dipercayai tergelincir sebelum tenggelam dan hilang di tasik air terjun itu.

Sumber: JBPM

DUNGUN: Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Bukit Besi, Amirul Danish Zamri, yang ditemukan lemas di Air Terjun Tasik Puteri Bukit Besi, dekat sini hari ini dipercayai tergelincir sebelum tenggelam dan hilang di tasik air terjun itu.

Mangsa yang berusia 19 tahun dan tidak pandai berenang gagal diselamatkan sembilan rakannya yang berada di tempat kejadian walaupun mereka saling menghulurkan tangan membantu menariknya.

Rakan mangsa Nor Ahmad Anas Muiz Norazeli, 19, berkata sebelum kejadian, Amirul Danish berada di sisinya dalam air sedalam kira-kira satu meter di tepi tasik air terjun itu.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba Amirul Danish tergelincir di kawasan air dalam dan terkapai-kapai serta tenggelam sebelum saya dan rakan-rakan sempat menarik tangannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Terdahulu, pelajar tahun satu jurusan mekanikal itu beriadah dan mandi di air terjun itu bersama sembilan rakannya yang juga pelajar UiTM Cawangan Bukit Besi.

Mayatnya ditemukan di dasar tasik air terjun sedalam tujuh meter oleh anggota bomba dan penyelamat pada 12.42 tengah hari.

Nor Ahmad Anas Muiz berkata dia dan Amirul Danish pernah mandi sebanyak empat kali di air terjun itu sejak melanjutkan pengajian di UiTM pada Julai lepas.

“Amirul Danish tidak menunjukkan perubahan sebaliknya ceria dan bergurau senda ketika kami berjalan kaki dari kolej kediaman pelajar ke air terjun sejauh kira-kira satu kilometer itu,” katanya.

Bapa mangsa, Zamri Zainodin, 55, berkata dia bergegas ke air terjun berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian daripada seorang anaknya.

Juruelektrik itu berkata kali terakhir dia bertemu dengan Amirul Danish ialah pada Ahad lepas ketika anak keempat daripada lima beradik itu pulang bercuti di rumahnya di Kampung Seberang Pintasan di sini.

“Amirul Danish berminat melanjutkan pengajian dalam jurusan mekanikal selepas tiga abangnya sebelum ini juga mengikuti jurusan itu,” katanya sambil menyifatkan arwah anaknya seorang yang periang, mesra dan tidak pernah merungut apabila diminta membantu melakukan kerja di rumah.

Zamri berkata jenazah Amirul Danish akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Pintasan selepas selesai bedah siasat. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading