PELAJAR UNISZA MAUT KEMALANGAN DALAM KAWASAN KAMPUS

KUALA NERUS: Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), maut manakala dua pelajar lagi cedera selepas motosikal yang dinaiki terbabit kemalangan, malam tadi.
Difahamkan, kemalangan dalam kawasan universiti berkenaan berlaku ketika pelajar-pelajar terbabit dalam perjalanan ke Majlis Perasmian Festival Kokurikulum di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA, yang bermula pada jam 8 malam.
Mangsa, Wan Muhammad Azhar Izzuddin W Abdul Razak, 21 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, maut ditempat kejadian, manakala dua lagi mangsa, Mohd Shaznur Alif Ramli dan Azhar Zaidi, masing-masing berusia 23 tahun parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
UniSZA dalam satu kenyataan di Facebook turut berkongsi berita duka itu dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat dan kenalan Allahyarham Wan Muhammad Azhar Izzuddin W Abdul Razak (Pelajar ISM Pengajian Islam Dakwah) Dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA) yang sudah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.”
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kata hantaran tersebut.
Menurut sumber, berikutan kejadian berkenaan, Majlis Perasmian Festival Kokurikulum ditunda bagi menghormati pemergian Allahyarham.–AlHijrah Online