PELAKON VETERAN MEK HABSAH MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Mek Habsah, 67, atau nama sebenarnya, Habshah Bakar meninggal dunia pada 2.45 pagi tadi di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur.
Berita kematian Mek Habsah disahkan oleh cucunya, Huraimi Hilman Iman ketika dihubungi Bernama hari ini.
Huraimi berkata Allahyarham menderita sakit paru-paru sejak 20 tahun lepas.
“Sebelum ini, nenek memang bergantung kepada tabung oksigen mudah alih, nenek keluar ke mana- mana pun memang ada (bawa) tabung oksigen,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Huraimi, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis Fasa 1.
“Jenazah nenek selesai dimandikan dan sekarang bagi ruang kepada rakan-rakan, saudara yang jauh untuk ziarah buat kali terakhir,” katanya.
Jenazah Mek Habsah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih Fasa 2, Batu Caves, selepas solat zuhur.
Allahyarham pernah membintangi filem bertajuk “Litar Kasih” yang ditayangkan pada 1996. — AlHijrah Online