PEMANDU BAWA TIGA KANAK-KANAK BUAT AKSI BERBAHAYA DIBURU POLIS

IPOH: Polis Perak sedang mengesan individu yang memandu sebuah kereta dengan tiga kanak-kanak melakukan aksi bahaya mengeluarkan kepala dari sebuah kereta yang bergerak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, video aksi berbahaya berdurasi satu minit dua saat itu tular dan dikongsi di laman sosial Facebook Inforoadblock bertarikh hari ini.

Menurut Mior Farid, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Jalan Tambun, Ipoh namun tarikh dan masa belum dapat dikenalpasti.

Ujar beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Yap Siew Cheng di talian 012-9093362 untuk membantu siasatan. –AlHijrah Online

Leave a Reply