PEMBUKAAN SEKOLAH DITANGGUHKAN SEMINGGU

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022 yang dijadual bermula pada 2 Januari 2022 bagi kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 3 Januari bagi kumpulan B akan ditangguhkan selama seminggu.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penangguhan itu berikutan situasi semasa banjir di seluruh negara.

“Keputusan itu mengambil kira situasi semasa banjir di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa, dan guru-guru secara langsung dan tidak langsung serta melibatkan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau sekolah terjejas teruk.

“Maka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022 ditangguh seminggu dan akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi kumpulan A dan 10 Januari 2022 bagi negeri kumpulan A,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook hari ini.

Tambah beliau KPM amat prihatin dengan nasib guru-guru, murid, dan ibu bapa dalam konteks situasi banjir semasa.

“Kita sedar, ini merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan kita faham mereka perlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum mereka dapat mulakan sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022,” katanya.

— AlHijrah Online

Leave a Reply