PEMEGANG KAD PELARIAN UNCHR DIHUKUM PENJARA KERANA MENCURI

MAHKAMAH

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Gara-gara mencuri pelbagai jenis barangan di sebuah kompleks beli-belah, seorang suri rumah warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) dihukum sehari penjara dan didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Siti Radziah Kamarudin juga memerintahkan Nan Khine Khine Tite, 40, menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Mahkamah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah mencuri 17 jenis barang keperluan harian bernilai RM1,010.64 milik Aeon Mid Valley, di sini pada 3.30 petang 27 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudian hendaklah dihukum dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Nan Khine yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia menjaga suami yang terlibat dalam kemalangan.

Di mahkamah sama, seorang pengurus syarikat dan seorang tukang cuci didenda masing-masing RM900 dan RM1,000 setelah mengaku bersalah melakukan gaduh gempar di tempat awam di kedai serbaneka V-Mart, Jalan Pudu, pada jam 1.35 pagi, 25 Mei lalu.

Majistret Siti Radziah juga memerintahkan Foo Sai Boon, 45, yang merupakan pengurus kedai serbaneka V-Mart dan Minto Pradhan, warga Bangladesh yang bekerja sebagai tukang cuci di kedai itu menjalani hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor keselamatan awam dan memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh. Foo yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda yang ringan dengan alasan dia memukul Minto kerana dia telah diganggu oleh lelaki itu manakala Minto yang juga tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan.

BERNAMA

Leave a Reply