PENDAKI NEGARA LAUNG AZAN DI PUNCAK GUNUNG MANASLU

KUALA LUMPUR: Laungan azan antara perkara dilakukan pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok sebaik sahaja beliau berjaya menawan puncak Gunung Manaslu, Nepal yang berketinggian lebih 8,000 meter dari paras laut.

Berdasarkan satu rakaman video dirakam sendiri Mohd Khafiz, beliau dengan penuh rasa penghargaan terhadap kekuasaan Allah SWT, melaungkan azan ketika berada di puncak gunung bersama beberapa lagi pendaki lain.

Kejayaan Mohd Khafiz dan seorang lagi pendaki negara RJ Nagarajan mendaki Gunung Manaslu pada 30 September lalu, menjadi mereka rakyat Malaysia pertama menawan gunung kelapan tertinggi di dunia itu.

Mohd Khafiz menggerakkan misi ‘ZEROTO8000’ dengan hasrat meletakkan bendera Malaysia di peta dunia pendakian setaraf dengan pendaki-pendaki daripada negara luar.

Misi itu digerakkan beliau menggunakan dana sendiri dalam usaha membawa Malaysia di pentas dunia.

Beliau yang lahir di Pontian, Johor telah berkecimpung dalam dunia pendakian di dalam dan luar negara sejak dari tahun 1995 dan telah berjaya menawan gunung-gunung di Malaysia dan Indonesia serta puncak gunung di Taiwan, China, Tanzania, Papua, Iran, Argentina dan Nepal.

Teras inspirasi projek ‘ZEROTO8000’ adalah untuk membakar semangat seluruh lapisan rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama dan taraf sosial kehidupan mereka, untuk berani mengejar impian dan cita-cita mereka meskipun berhadapan dengan halangan dan keterbatasan hidup.

Layari laman sesawang www.zeroto8000.com untuk maklumat lanjut berhubung misi tersebut. – AlHijrah Online

Leave a Reply