PENILAIAN KAFA BERMULA 15 NOVEMBER – KP JAKIM

PUTRAJAYA: Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) 2021 bagi menggantikan subjek bertulis akan dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula 15 hingga 30 November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, penilaian tersebut dilakukan berdasarkan modul Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (MPKAFA).

MPKAFA terdiri dari dua bahagian iaitu Bahagian A yang merupakan kaedah penilaian secara lisan kepada calon berdaftar berdasarkan silibus kurikulum KAFA JAKIM bermula dari Tahun Tiga hingga Lima dengan 75 peratus markah diperuntukkan.

Manakala Bahagian B pula merangkumi penilaian terhadap nilai, sahsiah, kehadiran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), hasil kerja dan komitmen calon dengan markah yang diperuntukkan adalah 25 peratus.

Jelasnya, dalam tempoh penilaian terbabit, PdPR bagi murid Tahun Lima dan Enam hanya dikhususkan untuk pelaksanaan MPKAFA sahaja.

“Aktiviti penilaian bersepadu ini melibatkan semua guru di setiap premis KAFA dan boleh dilaksanakan sama ada secara dalam talian, luar talian dan ‘off-site’.

“Dokumen MPKAFA boleh dimuat turun oleh penilai yang akan dilantik melalui portal Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) JAKIM pada 8 hingga 10 November,” dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, sesi libat urus bersama agensi pelaksana KAFA di setiap negeri berkaitan pelaksanaan MPKAFA akan dilaksanakan pada tarikh yang ditetapkan

JAKIM bagaimanapun menegaskan bahawa perubahan tersebut tidak akan menjejaskan persediaan dan tahap penguasaan murid-murid terhadap subjek yang dipelajari.

“JAKIM memahami keresahan ibu bapa, murid-murid, agensi pelaksana KAFA dan pihak-pihak berkaitan berikutan beberapa perubahan ini. JAKIM akan menggunakan pelbagai saluran informasi bagi memastikan maklumat yang jelas dapat disampaikan dengan sebaiknya.

“Dengan keputusan ini, Agensi Pelaksana KAFA di setiap negeri, pentadbir di setiappremis dan guru KAFA dimohon memastikan pelaksanaan MPKAFA ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Pada 23 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengumumkan peperiksaan bagi subjek bertulis Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) untuk calon tahun 2020 dan 2021 yang dijadualkan serentak pada 15 hingga 18 November 2021 akan digantikan dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply