Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PENJARA SESAK, TAHANAN REMAN DICADANG JALANI TAHANAN DI RUMAH

DALAM NEGARA

PENJARA SESAK, TAHANAN REMAN DICADANG JALANI TAHANAN DI RUMAH

Kerajaan mencadangkan tahanan reman yang memenuhi syarat ditempatkan di rumah dengan pemantauan elektronik bagi menangani kesesakan penjara yang kini menempatkan kira-kira 93,000 penghuni berbanding kapasiti 75,000 orang.

KUALA LUMPUR: Tahanan reman yang memenuhi syarat dicadang ditempatkan di rumah dengan pemantauan menggunakan peranti elektronik sebagai langkah menangani kesesakan penjara di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah itu bertujuan mengurangkan jumlah penghuni penjara, khususnya tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan.

Menurutnya, cadangan berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2024 sebagai antara usaha mengurangkan kesesakan penjara dan meningkatkan keberkesanan pengurusan sistem koreksional negara.

“Konsep yang kita bincangkan sejak awal adalah jelas, iaitu bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan mereka di rumah dengan pemantauan menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.

“Kes-kes jenayah berat pula memang telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme ini.

“Kita belum ada akta ataupun undang-undang mengenai tahanan rumah. Tempoh hari, saya berura-ura untuk membuatnya khusus untuk tahanan reman, tahanan reman yang menjadi punca kesesakan penjara,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, ketika ini terdapat kira-kira 93,000 penghuni di 41 penjara seluruh negara, sedangkan kapasiti keseluruhan penjara hanya mampu menampung 75,000 orang.

Beliau menjelaskan, penghuni penjara terdiri daripada individu yang telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman, selain tahanan reman yang masih menunggu proses pengadilan.

Tahanan reman merujuk kepada individu yang telah dituduh tetapi tidak dibenarkan ikat jamin atau gagal menyediakan ikat jamin, menyebabkan mereka ditempatkan di penjara sementara menunggu perbicaraan.

“Jadi, kombinasi dua ini, sabitan dan reman, menyumbang kepada kesesakan penjara kita. Misalnya, kita sekarang ini ada 41 penjara, tetapi penghuni penjara sekarang dalam 93,000. Kapasiti penjara kita 75,000 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, Kabinet telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses menggubal dan membentangkan Akta Tahanan Rumah di Parlimen.

Sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan tahanan reman yang memenuhi syarat di rumah dengan pergerakan mereka dipantau menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.

“Matlamat asalnya kekal, iaitu mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan. Itulah konteks dan maksud asal Akta Tahanan Rumah yang telah kita bincangkan sejak awal.

“Jika rang undang-undang itu diluluskan, kita boleh keluarkan tahanan reman ini di rumah dan kita pakaikan segala peranti moden untuk mengawasi pergerakan mereka sehingga tarikh perbicaraan. Itu maksud asal yang kita bincangkan,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading