KLANG: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan, di Jalan Batu Belah, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 11:40 malam.
Katanya seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh lima kilometer.
“Kemalangan melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang menunggang motosikal jenis Ducati dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Bagaimanapun penunggang motosikal tersebut disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya telah menyerahkan mangsa kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.–AlHijrah Online