PH TERENGGANU LAPOR POLIS DAKWA ABDUL HADI SANGGAH TITAH SULTAN

Gambar ARKIB. Sumber BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu membuat laporan polis terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan melawan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ia berhubung larangan ceramah dan kuliah agama oleh ahli politik di semua masjid dan surau di seluruh negeri yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) atas titah Sultan Mizan pada 2 Mac lepas.

“Sejurus selepas MAIDAM mengeluarkan arahan itu, Abdul Hadi dengan angkuh telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan meneruskan kuliah di masjid seperti biasa.

“Kenyataan itu jelas menyanggah titah sultan yang mahu institusi masjid dan surau dipelihara kesuciannya daripada sebarang dakyah politik,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya kenyataan itu juga dilihat boleh menggugat ketenteraman kerana dikeluarkan oleh seorang individu yang berpengaruh dan pernah menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Baru-baru ini MAIDAM telah mengeluarkan larangan kepada semua ahli politik supaya tidak menggunakan masjid dan surau di seluruh Terengganu untuk sebarang aktiviti dan program.

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilapor berkata pihaknya membuat ketetapan tidak membenarkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terenggganu.–AlHijrah Online

Leave a Reply