PILIHAN RAYA TURKIYE: ERDOGAN LALUI DETIK SUKAR BAKAL BERDEPAN PUSINGAN PENENTUAN

ISTANBUL: Presiden Recep Tayyip Erdogan mendahului pencabarnya Kemal Kilicdaroglu pada pilihan raya yang diadakan pada Ahad, namun gagal memperoleh majoriti mutlak untuk meneruskan pemerintahannya selama dua dekad, seterusnya membuka laluan kepada pusingan penentuan.

Undian itu yang dianggap sebagai keputusan terhadap langkah Erdogan yang semakin autoritarian, dijangka memberikan kelebihan kepadanya menjelang pemilihan pusingan kedua pada 28 Mei.

Dengan lebih 96 peratus peti undi selesai dikira, Erdogan mendahului 49.44 peratus manakala Kilicdaroglu memperoleh 44.86 peratus, lapor Agensi Anadolu.

Tinjauan pendapat sebelum pilihan raya menunjukkan pilihan raya kali ini akan menyaksikan perlumbaan yang sangat sengit tetapi kelebihan dilihat memihak kepada Kilicdaroglu, yang mengetuai perikatan yang terdiri enam parti. Dua tinjauan pada Jumaat menunjukkan beliau memperoleh undian melebihi 50 peratus.

Pemilihan presiden bukan sahaja menentukan siapa pemerintah kepada sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan populasi sekitar 85 juta penduduk itu, tetapi sama ada ia kembali kepada pemerintahan lebih sekular atau demokratik; bagaimana Turkiye akan menangani krisis kos sara hidup yang semakin meruncing; dan menguruskan hubungan dengan Rusia, Asia Barat dan Barat.–AlHijrah Online

Leave a Reply