POLIS, ATM BUAT RONDAAN PADA HARI PERAYAAN

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ziarah dipatuhi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya terdapat kenderaan yang banyak di luar sesebuah kediaman, pihak berkuasa akan membuat semakan bagi mengetahui jumlah individu yang berada di dalam kediaman itu. 

“Jadi saya nak beri ingatan bahawa PDRM dan ATM telah setuju bergerak (memantau) pada hari raya pertama dan seterusnya bagi pastikan SOP dipatuhi,” katanya dalam sidang media harian  berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan yang akan dirai dalam masa terdekat ini hanya pada hari pertama sambutan dan terhad kepada 20 orang, bergantung pada saiz kediaman.

Sementara itu Ismail Sabri menegaskan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan sama sekali termasuk bagi pasangan suami isteri yang duduk di negeri berasingan atas urusan kerja sebelum ini.

“Untuk si suami yang hendak menziarahi isteri di tempat lain, itu adalah kebenaran untuk hari-hari biasa, bukan untuk hari raya.

“Jadi ramai yang ambil kesempatan daripada kebenaran ini, maka mereka nak balik berhari raya, tetapi saya dah katakan, untuk rentas negeri berjumpa keluarga mereka perlu mendapatkan kebenaran polis.

“Kalau polis puas hati mereka pulang bukan untuk beraya, tetapi kerana benar-benar lama tak balik untuk berjumpa keluarga dan ada kebenaran daripada kerajaan, maka terserah kepada polis untuk memberikan kebenaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata larangan itu melibatkan laluan darat dan udara mencakupi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak kecuali kes kecemasan serta dengan kebenaran polis. — BERNAMA

Leave a Reply