POLIS BATALKAN SAMAN TIDAK PAKAI PELITUP MUKA DALAM KENDERAAN PERSENDIRIAN

KUALA LUMPUR: Kompaun tidak memakai pelitup muka hanya dikenakan kepada mereka yang berada di tempat awam yang sesak serta pengangkutan awam sahaja, tidak termasuk kenderaan persendirian.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan membatalkan saman yang telah dikeluarkan kepada individu yang tidak memakai pelitup muka dalam kenderaan persendirian.

“Semalam ada yang disaman (kerana tidak pakai pelitup muka) ketika berada di dalam kenderaan persendirian.

“Saya dah berbincang dengan pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak polis akan membatalkan saman tersebut dan kalau sudah bayar ia boleh dituntut semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur.

Ujarnya pemakaian pelitup muka dalam kenderaan persendirian tidak diperlukan kerana individu yang berada di dalam kenderaan tersebut mudah dikesan jika ada berlaku jangkitan.

“Kenderaan persendirian bukan pengangkutan awam tidak perlu pakai mask dalam kereta. Kalau kita dengan kawan tempat kerja kita tahu siapa kerana dia kawan kita. Setiap hari menumpang satu kenderaan,” katanya.

Selain itu beliau menegaskan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang tidak sesak dan ada penjarakan sosial adalah tidak diwajibkan.

Namun katanya orang ramai digalakkan untuk terus memakai pelitup muka walaupun di kawasan tidak sesak bagi mengurangkan ancaman COVID-19. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply