SUSULAN KLUSTER SIVAGANGGA, EMPAT MUKIM DI KEDAH DIKENAKAN PKPD SECARA PENTADBIRAN

KUALA LUMPUR: Kira-kira 7,000 penduduk meliputi empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran bermula hari ini (3 Ogos) hingga 30 Ogos.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan tersebut susulan penularan kluster Sivagangga yang telah menjangkiti 11 mangsa setakat ini.

“Kerajaan negeri Kedah telah memohon untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran di beberapa tempat iaitu pertama radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh, Kubang Pasu.

“Kedua Kampung Pida Satu, Megat Dewa, ketiga Kampung Bendang Dalam, dan keempat Kampung Ulu, Padang Sanai,” katanya.

Menurut beliau pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk serta penutupan beberapa jalan utama.

Selain itu dianggarkan 7,000 penduduk di keempat-empat mukim tersebut juga akan menjalani saringan COVID-19 secara “Swab Test”.

Ismail Sabri berkata sekolah, tadika, masjid, dan rumah ibadat dalam kawasan berkenaan diarah tutup sepanjang pelaksanaan PKPD secara pentadbiran. — AlHijrah Online

Leave a Reply