POLIS BEBASKAN PELAJAR SEKOLAH REMPUH PEMOTONG RUMPUT SEHINGGA MAUT

SUNGAI PETANI: Pelajar sekolah yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh dua pemotong rumput sehingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, di sini, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Supt Mohd Mahiri Hussain berkata, polis telah merekod keterangan daripada pelajar terbabit dan penjaganya turut dipanggil bagi membantu siasatan.
Katanya, mengikut keterangan suspek dia mengambil kunci kenderaan dan memandu tanpa pengetahuan bapanya.
Tambahnya, semasa kejadian bapa suspek tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri.
“Kita telah ambil keterangan dan bebaskan suspek dengan jaminan polis.
“Kita akan panggil ibu bapa suspek, kita akan jalankan siasatan kalau lebih kepada kecuaian, kita akan ambil tindakan saman kerana membenarkan individu yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN – REMAJA 16 TAHUN PANDU MPV REMPUH PEMOTONG RUMPUT SEHINGGA MAUT
Terdahulu, AlHijrah Online melaporkan seorang pekerja pemotong rumput yang berwarganegara Myanmar, Cinglowpa, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah kenderaan MPV.
Kejadian tersebut difahamkan pemandu MPV tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh dua batang pokok sebelum merempuh dua mangsa yang sedang berehat di tepi bahu jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.—AlHijrah Online