POLIS BURU LELAKI CONTENG TEMBOK MASJID, HINA NABI

SUNGAI PETANI: Polis sedang memburu seorang lelaki bertindak menconteng tembok pagar Masjid Andalusia Bandar Laguna, Merbok di sini, dengan tulisan mempersendakan agama Islam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku pagi semalam.
“Selepas meneliti rakaman video yang diberi pengadu, didapati lelaki tersebut bertindak menconteng tembok masjid dengan perkataan menghina agama Islam termasuk Nabi Muhammad SAW.
“Namun tulisan itu telah dipadamkan dan dinding tersebut telah dicat semula,” katanya hari ini.
Zaidy meminta orang awam untuk tidak membuat andaian yang boleh menganggu sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara.
Bagaimanapun motif kejadian itu masih disiasat.–AlHijrah Online