POLIS JUMPA TIGA BOM BUATAN SENDIRI DI JALAN KLANG LAMA

KUALA LUMPUR: Polis menjumpai tiga paip plastik (PVC) yang diubah suai menjadi bom buatan sendiri di hadapan sebuah kedai di Jalan Klang Lama selepas menerima laporan berhubung insiden letupan di premis itu awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfield ACP Amihizam Shukor berkata laporan berhubung insiden itu diterima pada kira-kira 6 pagi melalui panggilan telefon daripada pengawal keselamatan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan anggota polis telah menemukan tiga paip PVC berwarna putih yang telah diubah suai menjadi bahan letupan selain alat kawalan jauh yang digunakan untuk meletupkan bom berkenaan.

“Siasatan lanjut menemukan tiga kesan cap jari di lokasi kejadian dan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup berjaya mengesan pergerakan dua suspek lelaki di kawasan berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta hadir ke balai polis berkenaan atau menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. — AlHijrah Online

Leave a Reply