SHAH ALAM: Polis sedang mengesan beberapa individu yang tular mengenakan pakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat ketenteraan ketika menghadiri satu majlis dipercayai anjuran sebuah pertubuhan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tindakan berkenaan boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai dengan memberi anggapan ia bukan satu kesalahan.
“Polis telah mengesan video terbabit yang berlegar di TikTok semalam lebih kurang 2.30 petang. Tindakan itu boleh menjurus kepada sabitan undang-undang yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh menerusi talian 03-6156 1222 atau balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Berdasarkan Seksyen 140 Kanun Keseksaan, sesiapa yang bukan askar, kelasi atau juruterbang dalam perkhidmatan tentera, memakai pakaian atau membawa apa-apa tanda menyerupai seorang askar, dengan niat menyamar askar boleh dihukum tiga bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor dalam kenyataan malam ini berkata tiga individu telah dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata polis juga sedang menyemak dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi siasatan lanjut kes itu.
Mohd Hafiz berkata kertas siasatan dijangka akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat depan. –AlHijrah Online