QATAR MENOLAK RANCANGAN ISRAEL MENGILHAKAN TEBING BARAT

Last Updated on

DOHA: Qatar mengulangi pendiriannya menolak rancangan Israel untuk mengilhakan (annex) Tebing Barat yang dijajahnya, sambil menyatakan sokongan berterusan ke atas warga Palestin.

“Kita menolak sebarang cubaan untuk mengilhakan tanah Palestin yang dijajah,” kata Menteri Luar Qatar, Mohamed bin Abdulrahman Al Thani kepada mesyuarat virtual jawatankuasa hubungan adhoc koordinasi bantuan antarabangsa kepada warga Palestin dipetik agensi berita Anadolu hari ini.

Israel dijangka mengilhakan sebahagian Tebing Barat yang dijajahnya di bawah perjanjian Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan penentang bertukar sekutu, Benny Gantz yang mengetuai Blue and White Party.

Rancangan itu sebahagian Perjanjian Abad Ini diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 28 Januari lalu.

Ia merujuk Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Israel dan mengiktiraf hak Israel ke atas sebahagian tanah Tebing Barat.

Pegawai Palestin berkata di bawah rancangan AS, Israel akan mengilhakan antara 30 peratus hingga 40 peratus tanah Tebing Barat, termasuk keseluruhan Baitulmaqdis Timur.

Menteri Luar Qatar berkata Doha menyumbangkan bantuan USD1.2 bilion kepada warga Palestin sejak lapan tahun lalu.

“Kita akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply