RM30 JUTA UNTUK PEMBELIAN KAMERA BADAN, ELAK ANGGOTA DIFITNAH

May be an image of one or more people and text

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibekalkan dengan kamera badan atau body-worn camera bagi melindungi perbuatan fitnah daripada penjenayah ataupun orang tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi pembelian alat kamera berkenaan.

“Dengan penggunaan kamera badan berteknologi tinggi dan canggih, saya percaya moral dan keyakinan anggota PDRM dapat dipertingkatkan semasa melakukan operasi dan penugasan yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di ibu negara pagi tadi.

Kata Muhyiddin, walaupun negara sedang berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar, kerajaan tetap prihatin menjaga kebajikan dan komited untuk terus melindungi warga PDRM.

Tambah beliau kerajaan juga telah bersetuju untuk memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), tidak kira sama ada kepada penerima pingat yang sedang bertugas atau sudah bersara daripada perkhidmatan.

“Pemberian imbuhan ini akan dimanfaatkan oleh lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan,” katanya.

Kerajaan juga katanya amat prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya.

Muhyiddin berkata sungguhpun ia melibatkan kos tambahan kepada kerajaan, namun pertimbangan akan tetap dilakukan sekiranya wujud keperluan peruntukan bagi memperlengkapkan pasukan polis. – AlHijrah Online

Leave a Reply