SEKOLAH DIARAH PERIKSA SIJIL DIGITAL VAKSINASI GURU

AYER MOLEK: Semua sekolah diarah menjalankan pemeriksaan ke atas sijil digital vaksinasi setiap guru bagi memastikan semua tenaga pengajar lengkap divaksin.

Arahan itu diberikan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Md Jidin.

“Mulai hari ini pihak sekolah akan memeriksa sijil digital vaksinasi ini bagi memastikan para guru betul-betul sudah divaksin,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Air Molek, Melaka hari ini.

Tegas Radzi, langkah itu sejajar dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan mengambil tindakan tata tertib ke atas semua penjawat awam yang enggan divaksin bermula hari ini.

Melalui semakan dan pemeriksaan pihak sekolah itu jelasnya, pihak kementerian akan memperoleh data tepat terhadap maklumat guru yang enggan menerima vaksin.

Katanya, sebarang bentuk tindakan yang akan diambil selepas itu, adalah berdasarkan data berkenaan.

Tambahnya, sejak pekeliling JPA itu dikeluarkan, bilangan guru yang enggan divaksin menunjukkan pengurangan namun pihaknya tidak mempunyai angka tepat berhubung perkara itu.

Beliau turut mengarahkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melakukan pemeriksaan mengejut ke setiap sekolah untuk memastikan sistem pengudaraan di bilik darjah dan guru mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita memang meminta pihak JPN dan PPD supaya turun padang dan pergi ke sekolah-sekolah secara mengejut.

“Mohon jangan maklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu untuk memastikan bahawa segala tatacara yang telah ditetapkan dalam garis panduan yang kita sediakan itu dapat dipatuhi dengan baik khususnya berkaitan dengan pengudaraan,” katanya.

Jelas beliau, sistem pengudaraan di bilik darjah adalah komponen penting dan ia perlu digunakan di sekolah pada tahap optimum. –AlHijrah Online

Leave a Reply